Sunday, August 21, 2016

Dialog Akademik

Hari ini, dikunjungi oleh Pegawai SISC+  Bahasa Melayu PPD Kota Setar, Puan Norzaini.  Kami berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai pencapaian Bahasa Melayu murid-murid Tahun Enam SJKT Barathy dalam peperiksaan percubaan baru-baru dan pencapaian semasa.

Antara perkara yang dibincangkan ialah :

1. Aktiviti yang dijalankan bagi membantu meningkatkan lagi  pencapaian murid-murid khusus nya murid-murid dari kumpulan B dan C.

Saya memaklumkan bahawa saya telah membuat analisis mengenai pencapaian peperiksaan percubaan 1. Berdasarkan analisis tersebut, saya telah mengenal pasti kelemahan murid-murid. Antara nya ialah terdapat sebahagian murid lemah dalam soalan 22, 23 dan soalan 25.

Kebanyakan murid menghadapi masalah menjawab soalan menulis dialog, dan menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan puisi. Murid sukar menghuraikan makna bagi rangkap puisi.

Maka, saya telah memperbanyak soalan-soalan nombor 22, 23 dan 25 dan memberikannya kepada  murid- murid sebagai latih tubi.

2.  Program Komuniti Pembelajaran  Profesional atau Professional Learning Community (PLC) akan dijalankan selepas UPSR.

PLC yang akan dijalankan nanti berfokus kepada kemahiran-kemahiran yang dikenal pasti sukar dikuasai oleh murid. Antara nya ialah teknik penyoalan khusus nya soalan-soalan kbat . Satu bengkel mengenai teknik penyoalan soalan-soalan kbat akan diadakan untuk guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu . Kemahiran yang dicadangkan ialah kemahiran lisan.

Dalam perbincangan nanti, guru perlu menyenaraikan soalan-soalan yang akan ditanya semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, guru-guru juga perlu menyenaraikan soalan-soalan yang dijangka akan diberikan oleh murid-murid.

Semasa pengajaran guru di dalam kelas, guru tersebut perlu bertanya kan soalan-soalan yang telah disenaraikan  semasa dalam perbincangan. Beberapa orang guru lain yang memantau proses pengajaran dan pembelajaran perlu menyemak dengan menanda soalan-soalan jangkaan yang telah dijawab oleh murid bagi memastikan adakah sama seperti soalan-soalan yang dijangka kan. Selain itu, catatkan juga soalan-soalan lain yang diujarkan oleh murid-murid.


Monday, August 15, 2016

PETI SURAT BINTANG KECIL

LAPORAN PELAKSANAAN PETI SURAT  BINTANG KECIL

Program Peti Surat Bintang Kecil merupakan antara aktiviti yang dirancang dalam Panitia Bahasa Melayu. Antara objektif dilaksanakan program ini adalah bagi meningkatkan kemahiran menulis murid-murid, khusus nya yang berada dalam tahap dua.  Kebanyakan murid masih lemah dalam kemahiran menulis terutama nya untuk menulis karangan.

Bagi percubaan, saya melaksanakan Program Peti Surat Bintang Kecil ini (PSBK) untuk murid-murid Tahun Lima dan Tahun Enam.





Langkah-langkah pelaksanaan program.
1. Saya membeli peti surat sebenar dan melekatkannya pada pintu kelas.
Ini bagi menarik perhatian murid dan seterus nya akan dapat menggalakkan mereka melibatkan diri secara aktif dalam program PSBK ini.

2. Saya memberi penerangan kepada murid-murid mengenai Program Peti Surat Bintang Kecil. Hal ini, bagi memberikan kefahaman yang jelas kepada murid-murid agar mereka dapat turut serta dengan lebih berkesan. Antara maklumat yang saya sampaikan kepada murid ialah:

i.  Murid-murid perlu menulis surat  kepada sesiapa sahaja yang mereka mahu sama ada kepada kawan-kawan atau guru sekurang-kurang nya dua pucuk  surat seminggu. 
ii.   Murid boleh menulis apa sahaja perkara yang ingin mereka ceritakan kepada rakan-rakan atau guru mereka. Contoh nya mengenai hobi, pengalaman bercuti, pengalaman balik kampung, aduan tentang sesuatu perkara dan sebagai nya secara bertatasusila.
iii.   Murid-murid perlu menulis menggunakan  format yang tepat l, laras bahasa yang sesuai dan ayat-ayat yang betul.
iv.   Surat-surat yang ditulis dimasukkan ke dalam sampul surat dan nama penerima perlu ditulis pada sampul surat tersebut dan masukkan ke dalam peti surat yang disediakan. Peti surat tersebut saya kuncikan untuk mengelakkan murid-murid mengambil dan menghilangkan surat-surat yang dimasukkan ke dalam peti surat tersebut.
v.    Murid-murid boleh menulis seberapa banyak surat yang mereka mahu tulis.
vi.   Setiap hari Khamis, saya akan membuka peti surat tersebut  dan saya akan mencatat nama murid-murid yang telah menulis surat yang dimasukkan ke dalam peti surat tersebut dan bilangan surat yang mereka tulis. Tujuan saya mencatat nama-nama murid dan bilangan surat yang ditulis adalah bagi membuat penilaian. Senarai nama murid saya berserta dengan maklumat bilangan surat yang ditulis , saya  tampalkan pada papan kenyataan kelas.
vii.   Setiap bulan, murid yang menulis surat paling banyak surat akan diberikan ganjaran. Ini akan dapat memberikan galakan kepada murid-murid lain untuk menulis surat dan sekali gus dapat melatih murid menulis dengan betul.






PROGRAM SEHARI SELEMBAR BENANG

Pada hari pertama pelaksanaan Program Sehari Selembar Benang, murid-murid diminta berada di tapak perhimpunan.  Buku Mini Mari Bina Ayat diedarkan kepada semua murid Tahun Dua hingga Tahun Enam.

Saya menerangkan sekali lagi mengenai apa yang perlu ditulis oleh murid-murid di dalam buku mini tersebut. Murid-murid agak teruja apabila saya maklumkan kepada mereka bahawa akan ada penilaian bagi memilih Buku Mini Mari Bina Ayat yang terbaik . Hadiah-hadiah akan diberikan kepada murid-murid yang dapat menulis ayat dengan baik di dalam buku tersebut.
Jam 7.30 pagi,

Saya dapati tidak semua murid hadir di tapak perhimpunan. Ada yang agak lewat tiba di sekolah. Pada waktu itu juga saya dapati keadaan di tapak perhimpunan agak sesak dan kurang sesuai bagi murid menulis.
Saya tetap membimbing murid-murid  menulis ayat yang betul berpandukan gambar dan kosakata yang diberi .

Saya meminta murid menulis sekurang-kurangnya satu helaian buku mini yang mengandungi empat gambar.Bermakna, murid-murid perlu menulis empat baris ayat.

Terdapat murid-murid yang cepat memahami dan mampu menulis dengan ayat yang gramatis. Walau bagaimana pun, masih ramai murid yang perlukan bimbingan untuk menulis ayat dengan betul. Apabila ramai murid meminta bantuan , keadaan menjadi agak kurang terkawal. Kekurangan guru yang berada di tapak perhimpunan untuk mengawal dan membantu murid-murid membina ayat menyebabkan terdapat murid dapat dibimbing dengan sewajarnya. Waktu itu cuma ada 3 orang guru sahaja di tapak perhimpunan yang terdiri daripada jawatankuasa panitia Bahasa Melayu. Memang dalam panitia Bahasa Melayu cuma ada tiga orang guru sahaja.

Jam 7.40 pagi,
Murid-murid masuk ke kelas masing-masing untuk menjalani pdp.

 Saya kira, saya perlu mengubah cara pelaksanaan program ini agar mampu berjalan dengan baik dan dapat memberikan impak seperti yang diharapkan.
Hari ketiga pelaksanaan Program Sehari Selembar Benang.

Akibat keadaan cuaca yang kurang baik, lantai di tapak perhimpunan menjadi basah. Murid-murid tidak dapat melaksanakan program ini di tapak perhimpunan.

Murid-murid diminta masuk ke kelas masing-masing. Terdapat ramai juga murid-murid yang masih berada di kantin untuk mendapatkan RMT (Rancangan Makanan Tambahan) walau pun jam telah menunjukkan pukul 7.40 pagi dan ada juga murid baru saja tiba di sekolah.

Saya  mengadakan perbincangan dengan guru penolong kanan kurikulum dan guru-guru dalam panitia Bahasa Melayu mengenai masalah ini. Satu penambahbaikan perlu diambil. Saya mencadangkan agar aktiviti Sehari Selembar Benang ini dijalankan 5-10 minit setiap hari semasa proses pengajaran dan pembelajaran guru Bahasa Melayu. Rasional nya, murid-murid akan lebih bersedia, semua murid berada di dalam kelas masing-masing dan aktiviti membina ayat ini akan dapat dilaksanakan oleh semua murid dengan berkesan.

Guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu diminta membimbing dan menggalakkan murid-murid membina sekurang-kurangnya 2 baris ayat berdasarkan gambar dan kosakata yang diberi sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran pada setiap hari.
Murid-murid teruja bila saya beritahu bahawa saya akan umumkan pemenang hadiah Buku Mini Mari Bina Ayat terbaik.

Hadiah galakan yang saya sediakan untuk mereka berupa baucer makanan berniai RM5.00 Sengaja saya buat kelainan dari segi pemberian hadiah ini.  Murid-murid telah terbiasa dengan hadiah-hadiah seperti buku-buku atau pun alat-alat tulis

Idea menghadiahkan baucer makanan galakan murid ini rupa-rupanya mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada murid-murid. Guru Besar sendiri menyokong  dan memuji idea ini.
Majlis penyampaian baucer galakan pelajar ini dijalankan semasa perhimpunan pagi. Hal ini, bagi memberikan galakan dan motivasi kepada murid untuk terus melengkapkan buku mini mereka dengan  membina  ayat yang gramatis.


Syukur kerana objektif  pelaksanaan Program Sehari Selembar Benang ini telah dapat dicapai. Perbincangan semula dalam membuat postmortem bagi mencari kekuatan dan kekurangan program ini saya aturkan bersama-sama ahli panitia Bahasa Melayu. Antara dapatan nya ialah:

Kekuatan :
1. Program Sehari Selembar Benang mencapai objektif. Lebih 80% murid terlibat dalam menjayakan program ini.

2. Program ini telah memberikan impak yang positif antara nya telah dapat membudayakan murid-murid sekolah SJKT Barathy dengan menulis ayat setiap hari. Walau pun program ini telah berakhir, namun masih terdapat murid-murid yang mahu  terus membina ayat setiap pagi.

3. Kemahiran menulis murid semakin meningkat. Hal ini dapat dilihat dalam latihan-latihan mahu pun dalam ujian yang diberi. Murid telah dapat membina ayat dengan betul dengan memastikan dalam setiap ayat mengandungi subjek dan predikat . Murid-murid juga telah dapat menulis peluasan ayat dengan baik. Jika sebelum ini, murid-murid saya hanya mampu menulis ayat-ayat yang pendek sahaja, tetapi sejak melaksanakan latih tubi menulis ayat setiap hari, mereka telah dapat menulis dengan peluasan ayat.

4.  Kosa kata bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid semakin bertambah hasil daripada maklumat yang mereka peroleh  daripada  buku mini tersebut.  Murid-murid mudah mengingati dan memahami sesuatu kosa kata kerana terdapat gambar yang menerangkan mengenai nya.

5.  Pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu baik dalam kertas Pemahaman mahu pun Penulisan, semakin baik. Ini dapat dilihat berdasarkan Headcount Pencapaian  Mata Pelajaran di mana berlaku peningkatan markah dalam kalangan murid-murid.

Kekurangan:
1. Terdapat sebilangan murid yang kurang melibatkan diri dalam aktiviti ini. Murid-murid ini kurang berusaha untuk membina ayat-ayat seperti mana yang diminta.

2. Terdapat juga guru yang kurang memberikan bimbingan dan galakan kepada murid-murid agar  menulis dalam buku mini Mari Bina Ayat. Natijah nya, murid-murid di dalam kelas berkenaan tidak menyiapkan Buku Mini Mari Bina Ayat yang sepatut nya mampu dilengkapkan dalam masa  sebulan.

Rumusan :
Berdasarkan dapatan ini, saya bercadang untuk mengumpul lebih banyak kosa kata bergambar untuk dimuatkan  di dalam buku mini Mari Bina Ayat ke-2. Saya yakin dan percaya bahawa penguasan murid dalam kemahiran menulis ayat akan dapat dipertingkatkan lagi apabila murid-murid membuat latihan menulis ayat berpandukan gambar.
Buku Mini Mari Bina Ayat telah siap  dicetak.
Program Sehari Selembar Benang dirasmikan. Murid-murid diterangkan mengenai program tersebut. Guru-guru dalam Panitia Bahasa Melayu juga telah diperjelaskan mengenai pelaksanaan program ini semasa mesyuarat panitia sebelum ini.  Saya memaklumkan sekali lagi kepada semua guru yang mengajar bahasa Melayu agar memastikan program ini berjalan lancar.


Pelaksanaan Program Sehari Selembar Benang dapat dilaksanakan dengan baik. Murid-murid  yang saya ajar ( Kelas 5 Barathy, Tahun Enam Maha Barathy dan Tahun Enam Kavi Barathy ) begitu berminat dan menunjukkan kesungguhan yang tinggi dalam  membina ayat-ayat.

Setiap hari, sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, saya meminta murid-murid membuka buku mini mereka dan menulis satu muka surat yang mengandungi empat gambar dan empat kosa kata. Bermakna murid-murid membina empat baris ayat setiap hari.

Setiap hari saya akan menyemak ayat-ayat yang ditulis oleh murid-murid saya.  Saya membetulkan setiap kesalahan dalam ayat jika ada. Saya akan letakkan tanda *bintang* pada setiap ayat-ayat gramatis yang ditulis oleh murid. Saya memberikan galakan kepada murid bahawa buku yang terbaik adalah berdasarkan jumlah bintang yang diperoleh.  Ini bagi memastikan murid-murid menulis ayat dengan betul  dan gramatis.

Saya menjanjikan hadiah sebagai galakan terhadap usaha murid-murid menulis ayat-ayat dan melengkapkan buku mini mari bina ayat  masing-masing. Galakan seperti ini lebih mendorong murid-murid berlumba-lumba membina ayat menggunakan buku mini tersebut.


Saturday, August 13, 2016

Saya berazam untuk melaksanakan Program Sehari Selembar Benang ini dengan tujuan untuk membantu murid-murid meningkatkan kemahiran menulis mereka.Sesetengah nya menulis tetapi ayat yang digunakan kurang gramatis. Dengan latih tubi menulis ayat dengan betul dan gramatis ini, diharapkan agar murid-murid akan dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik, khusus nya apabila menjawab soalan kertas penulisan.

Bagi melaksanakan Program Sehari Selembar Benang ini, saya telah mengumpul banyak kosa kata bergambar . Pada pendapat saya, kosa kata bergambar ini sangat perlu bagi membantu pemahaman murid. Terdapat murid-murid yang lemah dalam penguasaan kosa kata bahasa Melayu.  Mereka sukar memahami kosa kata misalnya kata kerja tanpa bantuan gambar. Justeru, saya telah mengumpul berpuluh-puluh gambar yang sesuai dengan kosa kata atau kata kerja yang diberi.

Untuk tujuan mengumpul gambar-gambar yang sesuai ini , saya telah menggunakan Intenet sebagai medium mencari dan mengumpul gambar-gambar berkaitan kata kerja. Saya kemudian nya telah menyusun berpuluh-puluh gambar ini  dan melabelkan dengan kosa kata atau kata kerja yang bersesuai.

Seterusnya, saya buku kan ke dalam buku mini yang saya nama kan Buku Mini Mari Menulis.Saya kemudiaanya telah mencetak sebanyak 200 salinan untuk kegunaan murid Tahun Dua hingga Tahun Enam.

Wednesday, August 10, 2016

Daripada pemerhatian dan penelitian saya, saya dapati kemahiran menulis dalam kalangan murid-murid di sekolah saya  ini masih belum mantap. Selaku ketua panitia Bahasa Melayu, saya mendapati keputusan Kertas Penulisan  masih di tahap memuaskan.

Sewaktu mengadakan mesyuarat panitia, kami membuat portmortem pencapaian ujian Kertas Bahasa Malaysia dari Tahun Stu hingga Tahun Enam. Kebanyakan kelas menyatakan masalah yang hampir serupa. Murid kurang menguasai kemahiran menulis walau pun ada di antara mereka yang sudah menguasai kemahiran membaca.

Bertitik tolak dari sini, satu perbincangan telah diadakan bagi mencari jalan mengatasi kekurangan ini. Saya turut mencadangkan mengenai penggunaan buku mini  bagi tujuan melatih murid-murid menulis. Saya memaklumkan kepada semua ahli jawatankuasa panitia BM bahawa satu program untuk membantu kemahiran menulis murid akan dilaksanakan dengan kadar segera. Saya namakan program tersebut sebagai Program Sehari Selembar Benang. Saya bentangkan  draf cadangan  program tersebut dan telah dipersetujui oleh semua ahli termasuk Guru Penolong Kanan Kurikulum dan Tuan Guru Besar yang turut serta dalam perbincangan tersebut.