Monday, January 16, 2017

Respons oh respons.

Hari ni, masuk ke kelas Tahun 6B, kelas ke 2. Bilangan murid tidak lah ramai, 16 orang sahaja.

Walau bagaimana pun, agak sukar untuk mengajar mereka. Pertama nya kerana murid tidak memberi tumpuan semasa pengajaran sedang berlangsung. Saya tidak menyalahkan murid 100% apabila mereka tidak memberi tumpuan.

Justeru, saya membuat penilaian kendiri. Menilai kekurangan yang mungkin berpunca daripada saya sendiri. Antaranya :

1. mungkin pengajaran saya kurang menarik minat murid.
2. mungkin cara bercakap saya agak laju dan murid tidak dapat menangkap apa yang saya perkatakan.
3. mungkin murid takut dan tidak yakin untuk memberikan respons yang diminta.

Murid-murid kelas ini kebanyakannya lemah. Agaknya mereka lambat memahami apa yang saya sampaikan semasa pengajaran.
Mungkin saya perlu perlahankan lagi ' gear'. Walau pun berada di Tahun Enam, murid-murid ini sukar untuk menjawab soalan dengan betul, apatah lagi untuk melontarkan pendapat sendiri apabila disoal.

Hari ini, saya mengajar murid menulis respons yang betul dan sesuatu berdasarkan ayat perintah. Murid-murid lambat dan agak terpinga-pinga untuk memberi respons yang diminta.

Ada antaranya memberi respons yang pendek dan tidak lengkap.
Saya memberikan latihan menulis respon kepada murid. Tidak banyak, cuma 3 ayat sahaja. Saya kecewa bila membaca ayat-ayat yang ditulis oleh mereka.Macam-macam ayat pelik yang saya jumpa!

Bermaksud, murid-murid tidak mencapai objektif pembelajaran pada hari ini.

Berdasarkan refleksi yang dibuat, saya akan mencari jalan dan mencuba pendekatan yang lain supaya murid-murid akan dapat mencapai objektif iaitu dapat memberikan respons dengan betul dan sesuai.

Sunday, October 23, 2016

Merancang yang terbaik tetapi...

Saya merupakan guru Bahasa Melayu Tahun Lima dan Tahun Enam.
Murid-murid Tahun Lima, sebelum ini, saya tidak pernah mengajar mereka. Semasa mula-mula mengajar BM Tahun Lima pada bulan Januari, saya dapati kebanyakan murid sangat lemah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Hanya seramai 6 orang murid sahaja yang saya lihat mampu menguasai kemahiran yang diajar dengan baik.

Selepas Peperiksaan Penggal Satu dulu, saya telah membuat analisis pencapaian. Daripada analisis tersebut, saya telah merangka plan intervensi bagi membantu murid-murid Tahun Lima yang lemah ini untuk memperbaiki pencapaian mereka.

Bagaimanapun, pelan intervensi tersebut tidak dapat saya laksanakan kerana perubahan jadual waktu mengajar. Saya tidak dapat mengajar murid-murid Tahun Lima kerana diminta mengajar ketuga-tiga kelas Tahun Enam. Saya hanya mengajar murid-murid Tahun Lima ini sehingga bulan Jun sahaja. Justeru, pelan intervensi tidak dapat saya laksanakan. Guru ganti yang mengajar Tahun Lima tidak menggunakan pelan intervensi untuk mengajar murid-murid Tahun Lima.

Selepas UPSR iaitu pada bulan Oktober, saya diminta sekali lagi mengajar semula Tahun Lima. Saya terima sebagai cabaran .Tidak sampai sebulan, murid-murid akan menduduki Peperiksaan akhir tahun pula. 
Murid-murid masih lemah dalam semua bahagian Kertas Penulisan. Kemahiran menulis ulasan pun masih tonggang-langgang. Begitu juga dalam Kertas Pemahaman. Kebanyakan murid masih tidak menguasai kemahiran membina ayat secara meluas dan secara gramatis.

Justeru, saya telah melaksanakan Pelan Intervensi yang saya rangka sebelum ini. Walau pun saya tahu perancangan ini tidak dapat dijalankan sepenuh nya kerana hanya dapat dijalankan untuk jangka masa yang singkat, bererti saya hanya dapat melaksanakan sebahagian kecil sahaja pelan intervensi tersebut.




Monday, October 17, 2016

KBAT


Sebagai seorang guru yang mengajar Bahasa Melayu di Tahun 5 , saya telah mencuba mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari semasa berkursus dalam pengajaran dan pembelajaran di kelas.
Antara nya, saya telah menyediakan pengajaran berpusatkan murid, menggunakan kaedah  koperatif dan kontekstual .Dalam pengajaran pembelajaran ini juga, saya telah menerapkan unsur KBAT 

KBAT melibatkan kemahiran intelek yang tinggi. Kemahiran ini kebiasaan melibatkan merujuk kepada empat aras teratas dalam Taksonomi Bloom iaitu mengaplikasi, menganalisa, menilai dan mencipta.

KBAT ini juga mempunyai kelebihan lain iaitu dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada pada murid. Mereka akan dapat mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran yang telah mereka kuasai. Kebolehan ini akan menjadikan mereka lebih produktif dan berdaya saing. Seterusnya sudah tentu dapat meningkatkan kefahaman dan memperkukuh pembelajaran dalam apa sahaja perkara yang mereka pelajari nanti.
-           
Bagi menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid maka peranan guru sangat signifikan. Usaha ke arah itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Sebenarnya kemahiran berfikir ini bukanlah asing kepada guru kerana mereka telah didedahkan tentang konsep dan kaedah kemahiran ini semasa mengikuti latihan perguruan di maktab atau universiti suatu ketika dahulu. Walau apa pun guru perlu terus ditingkatkan keupayaan kemahiran berfikir mereka supaya dapat memberikan yang terbaik kepada murid dalam pengajaran mereka.

            Antara cara berkesan yang boleh dilakukan untuk menerapkan KBAT dalam PdP ialah dengan mengemukakan soalan-soalan yang berunsurkan KBAT semasa proses PdP dijalankan. Soalan dikemukakan adalah soalan yang membolehkan murid untuk mengaplikasi, menganalisa, mensintesis dan menilai suatu maklumat daripada sekadar menyatakan semula fakta atau hanya mengingati fakta yang telah dipelajari.

Justeru, saya telah merangka  rancangan pengajaran dan pembelajaran yang mempunyai unsur-unsur ini.Berikut adalah contoh rancangan pengajaran dan pembelajaran yang telah saya laksanakan.



HARI      :  RABU                       TARIKH : 19/4/2016
Mata Pelajaran / Kelas
Bahasa Malaysia / 6 Maha Barathy
Tema/Tajuk
Hormati Komuniti / Memupuk Perpaduan
Masa
10.15  - 11.15
Standard Pembelajaran
3.3.3  Membina dan menulis jawpan secara kritis dan kreatif dengan betul

Objektif Pembelajaran
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran, murid dapat:
1. membina dan menulis jawapan secara kritis dan kreatif dengan betul berdasarkan teks yang dibaca.

Aktiviti
1,  Murid-murid dan guru bersoal jawab mengenai tajuk pelajaran pada hari ini.
2.  Murid membaca petikan bagi memahami cerita yang terkandung dalam petikan untuk mendapatkan maklumat.
3.   Beberapa orang murid diminta membina dan menulis jawapan pada papan putih berdasarkan soalan pemahaman yang diberi.
4.   Dalam kumpulan, murid-murid berbincang dan menulis jawapan berdasarkan soalan yang diberi dalam kertas sebak.
5.  Wakil kumpulan membentangkan hasil perbincangan kumpulan masing-masing.
6.  Murid dan guru berbincang dan memurnikan jawapan.
7.  Murid menulis jawapan pada lembaran kerja yang diedarkan secara individu.
8.  Murid dibimbing membuat rumusan mengenai tajuk yang dipelajari pada hari ini.
Pengisian Kurikulum
Ilmu :   Pendidikan Moral, TMK
Nilai :  Bertindak bijak
KB   :  Menganalisis, menjana idea
EMK : Kreativiti dan Inovasi
Celik Kewangan :  Mewujudkan strategi bagi perlindungan identiti
Bahan Bantu Belajar
Teks , gambar, kad ayat

Penilaian Pengajaran dan Pembelajaran


Refleksi



 

 Sebelum melaksanakan pengajaran di dalam kelas, saya telah menyenaraikan soalan-soalan yang akan saya ajukan kepada murid-murid. Kebanyakan soalan yang saya sediakan adalah soalan KBAT. Hal ini demikian supaya saya dapat menggunakan seberapa banyak soalan KBAT semasa pengajaran pembelajaran. Persediaan ini perlu bagi saya  agar saya dapat menerapkan unsur-unsur KBAT ini dengan berkesan.

Persediaan ini nyata amat membantu saya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan dan lancar.

AKTIVITI MIX N MITCH

Pada 13 Oktober 2016, satu Kursus Dalaman  mengenai pengajaran dan pembelajaran Alaf ke-21 telah dijalankan di sekolah.. Kursus ini telah disampaikan oleh tiga oleh  Pegawai SISC+ dari Pejabat Pelajaran Daerah Kota Setar.





Saya cukup tertarik dengan maklumat yang disampaikan. Sebagai seorang guru, seharusnya kita perlu menyediakan diri dan menambahkan  pengetahuan kita tentang arus pengajaran pembalajaran yang terkini. Hal ini demikian supaya kita dapat menambah baik mutu dan tahap pengajaran kita dan seharusnya akan dapat menarik minat murid terhadap pengajaran kita dan seharusnya akan dapat meningkatkan pencapaian murid-murid terhadap pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan.


Melalui kursus ini,  saya telah mempelajari mengenai struktur pembelajaran koperatif. Sebenarnya banyak aktiviti yang menarik boleh dijalankan di dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti-aktiviti ini  mementingkan penglibatan murid-murid. Pendekatan dan aktiviti yang inovatif dan kreatif ini menjadikan pengajaran dan pembelajaran aktif dan menyeronokkan.

Antara aktiviti yang menarik Mix  N  Match.
Saya telah melaksanakan aktiviti 'Mix N Match ini semasa mengajar murid-murid Tahun Lima.
Saya ingin mengajar topik Kata Majmuk. Berikut adalah aktiviti yang saya jalankan mengikut 'Mix N Match':

1. Membuat peta pemikiran iaitu Peta Alir bagi memudahkan yang mengandungi aturan yang perlu saya lakukan semasa melaksanakan Mix N Match.

2.  Murid diterangkan mengenai aktiviti yang akan dijalankan .

3. Murid diberikan kad yang mengandungi perkataan yang akan membentuk kata majmuk.

4.  Apabila guru menyebut  “Cari” murid-murid akan bergerak dan mencari murid lain yang memegang perkataan yang boleh membentuk kata majmuk.

5. Murid-murid akan memadankan kad dan  menyebut kata majmuk yang telah dibina.

6. Guru akan menulis kata majmuk yang disebut oleh murid pada papan putih.

7. Guru akan menyebut sekali lagi perkataan 'Cari' dan murid-murid sekali lagi akan bergerak dan mencari murid lain yang memegang perkataan lain yang sesuai bagi membentuk kata majmuk . Murid-murid akan memadankan perkataan dan membentuk kata majmuk.

8. Aktiviti ini boleh diulang beberapa kali sehingga murid-murid mampu mengumpul seberapa banyak kata majmuk .

9. Pada akhir pengajaran pembelajaran, murid-murid akan membaca semua kata majmuk yang telah disenaraikan tadi.

10. Sebagai aktiviti pengukuhan, murid-murid diberikan latihan yang bersesuaian. Antara latihan yang berkaitan ialah:

a.   murid melengkapkan ayat menggunakan kata majmuk yang betul.

b.  murid membina ayat menggunakan kata majmuk yang diberi.