Monday, August 15, 2016

Murid-murid teruja bila saya beritahu bahawa saya akan umumkan pemenang hadiah Buku Mini Mari Bina Ayat terbaik.

Hadiah galakan yang saya sediakan untuk mereka berupa baucer makanan berniai RM5.00 Sengaja saya buat kelainan dari segi pemberian hadiah ini.  Murid-murid telah terbiasa dengan hadiah-hadiah seperti buku-buku atau pun alat-alat tulis

Idea menghadiahkan baucer makanan galakan murid ini rupa-rupanya mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada murid-murid. Guru Besar sendiri menyokong  dan memuji idea ini.
Majlis penyampaian baucer galakan pelajar ini dijalankan semasa perhimpunan pagi. Hal ini, bagi memberikan galakan dan motivasi kepada murid untuk terus melengkapkan buku mini mereka dengan  membina  ayat yang gramatis.


Syukur kerana objektif  pelaksanaan Program Sehari Selembar Benang ini telah dapat dicapai. Perbincangan semula dalam membuat postmortem bagi mencari kekuatan dan kekurangan program ini saya aturkan bersama-sama ahli panitia Bahasa Melayu. Antara dapatan nya ialah:

Kekuatan :
1. Program Sehari Selembar Benang mencapai objektif. Lebih 80% murid terlibat dalam menjayakan program ini.

2. Program ini telah memberikan impak yang positif antara nya telah dapat membudayakan murid-murid sekolah SJKT Barathy dengan menulis ayat setiap hari. Walau pun program ini telah berakhir, namun masih terdapat murid-murid yang mahu  terus membina ayat setiap pagi.

3. Kemahiran menulis murid semakin meningkat. Hal ini dapat dilihat dalam latihan-latihan mahu pun dalam ujian yang diberi. Murid telah dapat membina ayat dengan betul dengan memastikan dalam setiap ayat mengandungi subjek dan predikat . Murid-murid juga telah dapat menulis peluasan ayat dengan baik. Jika sebelum ini, murid-murid saya hanya mampu menulis ayat-ayat yang pendek sahaja, tetapi sejak melaksanakan latih tubi menulis ayat setiap hari, mereka telah dapat menulis dengan peluasan ayat.

4.  Kosa kata bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid semakin bertambah hasil daripada maklumat yang mereka peroleh  daripada  buku mini tersebut.  Murid-murid mudah mengingati dan memahami sesuatu kosa kata kerana terdapat gambar yang menerangkan mengenai nya.

5.  Pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu baik dalam kertas Pemahaman mahu pun Penulisan, semakin baik. Ini dapat dilihat berdasarkan Headcount Pencapaian  Mata Pelajaran di mana berlaku peningkatan markah dalam kalangan murid-murid.

Kekurangan:
1. Terdapat sebilangan murid yang kurang melibatkan diri dalam aktiviti ini. Murid-murid ini kurang berusaha untuk membina ayat-ayat seperti mana yang diminta.

2. Terdapat juga guru yang kurang memberikan bimbingan dan galakan kepada murid-murid agar  menulis dalam buku mini Mari Bina Ayat. Natijah nya, murid-murid di dalam kelas berkenaan tidak menyiapkan Buku Mini Mari Bina Ayat yang sepatut nya mampu dilengkapkan dalam masa  sebulan.

Rumusan :
Berdasarkan dapatan ini, saya bercadang untuk mengumpul lebih banyak kosa kata bergambar untuk dimuatkan  di dalam buku mini Mari Bina Ayat ke-2. Saya yakin dan percaya bahawa penguasan murid dalam kemahiran menulis ayat akan dapat dipertingkatkan lagi apabila murid-murid membuat latihan menulis ayat berpandukan gambar.

No comments:

Post a Comment